Selamat Datang Ke Portal Rasmi TS25 SMKTBG

Pengikut

SEJARAH SEKOLAH

 

SEJARAH SEKOLAH


 

            Berdasarkan sejarah lisan, nama Teluk  Bahang diambil sempena nama yang diberikan oleh peneroka awal yang kebanyakannya berasal dari Padang Hang, Kedah. Menurut cerita, kawasan pantai laut di sini berteluk dan sesuai untuk menangkap ikan. Tambahan pula, keadaan cuaca yang panas dan berbahang di kawasan ini sama dengan persekitaran asal mereka, maka peneroka menamakan kawasan ini dengan nama Teluk Bahang.

            Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang dibina di atas sebidang tanah seluas 8.74  ekar pada 13 November 1999. Majlis Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Y.B Dato’  Dr.Hilmi bin Hj. Yahaya ADUN Teluk Bahang. Sekolah ini dilengkapi dengan tiga blok utama, sebuah kantin dan rumah guru. 

            Pendaftaran kemasukan pelajar pertama diadakan pada 13 November 2001 dan hari persekolahan pertama bermula pada  7 Januari 2002 dengan jumlah pelajar seramai 89 orang ( 54 lelaki dan 35 perempuan ) dan 9 orang guru ditadbir oleh Tn Hj. Abdul Malek bin Othman, Pengetua pertama sekolah ini.   Sebelum ini, anak-anak penduduk Teluk Bahang terpaksa bersekolah di SMK Tanjung Bunga yang jaraknya hampir 18 km dari Teluk Bahang. Dengan pembukaan dua blok asrama putera dan puteri telah memberi lembaran baru kepada suasana pembelajaran di sekolah ini. Penempatan penghuni asrama yang pertama terdiri daripada 65 orang pelajar kelas aliran agama pada 4 Februari 2003 telah memartabatkan lagi sekolah ini.

            Sekolah Menengah Teluk Bahang juga telah dinobatkan sebagai salah sebuah “Sekolah Berwatak KRS” bagi memberi peluang anak tempatan Teluk Bahang membina semangat ketahanan diri daripada gejala yang tidak sihat, berketrampilan serta matang dan rasional dalam semua tindakan. Oleh itu atas inisiatif tuan pengetua sendiri,beliau telah mencipta lirik lagu KRS dan susunan lagu digubah oleh anak jati tempatan Teluk Bahang iaitu Encik Idris Mat Isa bagi memupuk serta membakar semangat KRS dalam jiwa anak murid Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang setiap kali ianya dinyanyikan.

            Kewujudan sekolah ini juga telah memberi harapan yang besar kepada penduduk-penduduk tempatan mengingini sebuah sekolah menengah beroperasi di kawasan mereka.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan